Acara Terkini :

Kraf Tradisional

1. Perusahaan Batik

batik

Negeri Kelantan kaya dengan hasil seni batik kerana batik merupakan pakaian tradisi bagi penduduk Kelantan. Tempat yang terkenal dengan perusahaan membuat batik antaranya yang dijalankan di Kampung Kota, Kampung Puteh dan Kampung Badang di Kota Bharu. Pengunjung boleh melawat kilang menghasilkan batik dan melihat sendiri keseluruhan proses penghasilan batik.

2.
Songket

songket

Songket merupakan pakaian tradisional melayu yang sentiasa dibanggakan oleh penduduk di negeri Kelantan. Songket diberi jolokan sebagai "Cloth of Gold". Selalunya pakaian songket ini dikhaskan untuk pihak diraja sahaja. Namun kini ia sudah biasa digunakan oleh orang ramai dalam melangsungkan perkahwinan atau menyambut apa-apa perayaan. Industri tenunan songket boleh didapati di sekitar Kampung Penambang, Kota Bharu.

3.
Perak

pembuatan kraf perak

Produk perak terkenal di Kelantan kerana keunikan ukiran dengan kehalusan seni serta rekabentuk yang sangat menarik. Barangan perak yang dihasilkan adalah barangan yang boleh digunakan hingga barangan yang dibuat sebagai perhiasan seperti mangkuk buah, set minuman, bekas habuk rokok, kerongsang, rantai atau gelang serta pelbagai hiasan diri untuk lelaki dan wanita terdapat di sekitar negeri ini terutamanya di Jalan Kampung Sireh, Kota Bharu dan Kampung Morak di Tumpat.

4.
Ukiran Kayu

ukiran kayu

Kraf tradisional yang dihasilkan daripada kayu yang berkualiti tinggi seperti cengal, jati dan merbau yang mana sering digunakan untuk membuat bot dan perabot. Di Kelantan, motif ukiran kayu biasanya berdasarkan tempat kraf itu digunakan. Motif kaligrafi kebanyakannya digunakan di masjid dan motif alam sekitar dibangunan istana dan golongan bangsawan. Semakin cantik dan menarik ukiran itu, semakin tinggi golongan masyarakat yang menggunakannya. Seni ukiran kayu ini begitu aktif dihasilkan di Kelantan terutamanya di sekitar Tumpat.

5.
Buluh

Di Kampung Tok Oh iaitu bersebelahan dengan Kampung Ana, terdapat perusahaan membuat peralatan daripada buluh seperti bakul, perhiasan dinding, tikar dan sebagainya. Ia amat popular di sini dan mendapat tempahan dari seluruh negeri di Malaysia. Ia diusahakan oleh kaum wanita yang tinggal di sekitar Kampung Tok Oh, Kampung Ana, Kampung Padang Mandol dan Kampung Jal Besar di Tumpat.

6.
Rotan

rotan

Rotan digunakan untuk menghasilkan perabot dan bakul. Rotan boleh dijadikan sebagai kayu untuk membuat perabot apabila dipotong mengikut bahagian-bahagian tertentu. Rotan boleh diserikan dengan pelbagai warna dan boleh dibentuk dengan pelbagai rupa. Tambahan pula, bahagian luar rotan juga boleh menghasilkan anyaman. Perusahaan ini boleh didapati di Kampung Gelang Mas, Pasir Mas.

7.
Tembikar

pembuatan seni pasu tanah liat

Tembikar merupakan salah satu kraftangan yang dihasilkan melalui tanah liat. Sejak dahulu lagi, tembikar sering digunakan untuk kegunaan sebagai upacara kematian dan keagamaan oleh masyarakat ulu di Sarawak. Pembuatan tembikar dihasilkan pada zaman Neolitik. Pelbagai artifak telah dijumpai di Kedah, Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak. Kini, barangan tembikar telah menjadi ikon utama untuk perhiasan rumah. Ukiran di dinding pejabat, lampu tidur dan sebagainya telah diambil daripada seni ukiran tembikar. Terdapat dua tempat perusahaan yang terkenal di Kelantan iaitu, di Kampung Sribong, Kota Bharu dan Kampung Mambong, Kuala Krai. Masing-masing membuat barangan tembikar daripada tanah liat yang terpilih sahaja kerana untuk menjaga kualiti dan tahan lasak barangan tersebut.

8.
Pertukangan Besi

Pertukangan besi Kampung Perangkap, Bunut Susu, Pasir Mas adalah industri pertukangan menempa senjata tradisional seperti keris, parang, pedang, badik dan sebagainya. Kampung Perangkap, Bunut Susu, Pasir Mas telah terkenal dengan industri pertukangan besi sejak dahulu lagi dan mendapat tempahan seluruh negeri di Malaysia. Ianya merupakan perusahaan tradisional yang diwarisi daripada nenek moyang. Perusahaan ini dilakukan secara kecil-kecilan. Pengeluaran peralatan senjata daripada besi ini terhad disebabkan kebanyakan kerja-kerja dilakukan secara manual dengan menggunakan tenaga manusia sepenuhnya.

9.
Wau Bulan

wau

Hakikatnya penduduk negeri Kelantan menjadikan permainan wau sebagai salah satu permainan tradisional semasa lapang. Layang-layang atau wau ini akan melayang-layang di udara setelah ia dinaikkan. Permainan ini biasanya dilangsungkan selepas musim menuai, iaitu setelah petani-petani mempunyai masa yang terluang untuk mencipta dan menghias wau mereka. Terdapat banyak jenis wau seperti "wau kucing" , "wau merak", "wau bulan" dan lain-lain lagi.

Untuk mencipta wau, kemahiran yang tinggi serta kesabaran yang sepenuhnya diperlukan. Sepanjang perjalanan menuju ke Pantai Cahaya Bulan, terdapat banyak kedai yang mengeluarkan dan menjual wau yang direka sendiri.

10. Gasing

Gasing memainkan peranan yang penting sebagai hiburan tradisi rakyat Kelantan. Terdapat dua jenis gasing yang biasanya dimainkan oleh masyarakat melayu iaitu Gasing Uri dan Gasing Pangkah. Gasing Uri dibuat daripada logam timah dan kayu merbau. Paksinya dibuat daripada besi. Manakala kepalanya dibuat dari tanduk kerbau supaya gasing itu lebih cantik. Di dalam pertandingan, gasing yang berpusing lebih lama akan dianggap sebagai menang. Manakala Gasing Pangkah pula diperbuat dari kayu keranji. Banyak tempat-tempat yang mengusahakan perusahaan ini seperti di Kampung Berlian Kok Pasir dan Kampung Ana Jal Besar di Tumpat, Kampung Gertak Kechupu di Kota Bharu, dan Kampung Kubang Telaga di Bachok dan lain-lain lagi.

11.
Kertok

Kertok adalah salah satu hiburan tradisional masyarakat Melayu Kelantan. Asal-usul permainan Kertok bermula apabila ia digunakan oleh penanam padi bagi tujuan menghalau burung pada musim padi masak. Pada masa kini alat ini mempunyai fungsi yang utuh dan boleh dikatakan terkenal dalam masyarakat tradisi Kelantan yang rata-ratanya ialah masyarakat petani. Kertok dibuat dengan menggunakan kayu Merbau atau Nibong yang dilubangkan di tengah-tengahnya dan diisi pula dengan tempurung kelapa tua yang telah diproses. Buah kelapa tersebut dibelah dua dan diletakkan sekeping papan yang dibuat daripada kayu Nibong iaitu sejenis kayu keras yang tahan dipalu. Papan ini dikenali sebagai “belira” atau daun dan diikat dengan getah pada tiang yang terletak dibahagian atas kertok. Kadang-kadang kertok ini dihiasi dengan panji-panji yang berbagai corak dan warna serta lukisan yang menarik. Kertok dimainkan di majlis-majlis keramaian atau majlis rasmi menyambut Pembesar Negeri. Ia boleh dimainkan oleh dua orang atau berkumpulan. Sesebuah kumpulan mengandungi 12 hingga 24 peserta. Paluan Kertok juga mempunyai lagu-lagu tertentu seperti Ropok, Anjol, Kuncah Manis, Gadoh, Kudarambak, Kedogong dan lain-lain. Penduduk sekitar Kampung Petani, Sering, Kota Bharu, Kampung Serdang, Pasir Mas, Kampung Chica, Bachok, Kampung Tempoyak, Bachok dan Kampung Gelang Mas, Pasir Mas, ini amat popular dalam perusahaan membuat kertok.

12.
Rebana Ubi

buat rebana

Rebana Ubi merupakan salah satu permainan tradisi masyarakat Melayu Kelantan yang telah mula dimainkan kira-kira 3 abad dahulu. Pada masa silam, Rebana Ubi merupakan permainan masa lapang yang biasanya dimainkan setiap kali tamatnya musim menuai. Cara permainannya ialah setiap rebana ubi akan dipukul oleh dua orang dan boleh dimainkan secara paluan atau dipukul dengan tangan sahaja. Cara pertandingan pula ialah di dalam pertandingan satu pasukan akan memukul enam rebana dengan jumlah anggota seramai 12 orang, iaitu dua orang bagi setiap satu rebana. Pelbagai rentak akan diperdengarkan. Sebuah lagu akan dimainkan secara rasmi selama dua minit dan setiap satu-satu pasukan akan bergilir-gilir bermain. Pemberian markah dalam pertandingan adalah bergantung kepada ketahanan rentak, irama dan ragam yang berlainan serta keseragaman paluan itu sendiri. Perusahaan ini boleh didapati seperti di Kampung Petani, Sering, Kampung Banggol, Gelang Mas, Kampung Paloh, Palebang, Kampung Gelong dan lain-lain lagi.

13.
Wayang Kulit

pembuat wayang kulit

Wayang Kulit merupakan sejenis permainan tradisi rakyat Kelantan yang diwarisi sejak turun–temurun. Pertunjukkan Wayang Kulit biasanya diadakan di bangsal atau panggung lengkap dengan kumpulan muzik serta patung–patung wayang kulit yang terdiri daripada pelbagai watak. Tok Dalang merupakan orang yang melakonkan atau menggerakkan patung-patung wayang kulit mengikut kisah cerita yang hendak dipertunjukkan. Wayang kulit dimainkan pada waktu malam di majlis-majlis keramaian atau pesta. Kisah cerita yang diriwayatkan dalam permainan wayang kulit asalnya adalah dari epik Hindu tetapi kini telah diubahsuai dengan kebudayaan melayu tempatan. Perusahaan ini boleh didapati di Kampung Kemasin, Bachok, Kampung Pasir Chetok, Pasir Mas, Kampung Laut 2, Tumpat, Kampung Setek, Kota Bharu, Kampung Sri Tanjong, Tumpat dan lain-lain lagi.

Share

Telah dikemaskini pada : 3 Mac 2014



[Dasar Privasi] [Dasar Keselamatan] [Soalan Lazim] [Bantuan W3C]